Melaka


Muzium Lebah Sedunia terletak di Ayer Keroh Melaka. Muzium ini memaparkan cara-cara untuk membiakkan dan menternak lebah madu sehinggalah ke pemprosesan madu untuk dijual. . Di sini, para pengunjung akan diberikan maklumat terperinci mengenai kitar hidup (serta cara hidup) lebah. Pengunjung juga berpeluang untuk melihat secara dekat jutaan lebah hidup yang di pamerkan..

Muzium Al-Quran Melaka menjadi sebuah lagi mercu tanda kegemilangan Islam di Melaka. Ianya ditempatkan di Bangunan Fasa II Kompleks Al-Azim Melaka. Muzium ini memperagakan sejarah penurunan wahyu pertama sehingga kepada perkembangan Islam di Zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan penyebarannya ke seluruh Timur Tengah, India, China dan Alam Melayu. Muzium ini merupakan destinasi terunggul untuk dilawati bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat berhubung Al-Quran dan sejarah perkembangannya di Malaysia.

Muzium Mainan Melaka yang terletak di Jalan Penghulu Abbas, Bukit Baru di Melaka mampu membuatkan kanak-kanak lebih menghargai dan menyayangi barang mainan mereka.

Muzium itu menempatkan sebanyak 10,000 pelbagai jenis mainan yang disusun rapi di dalam tujuh ruang pameran.

Antara koleksi mainan yang terdapat di muzium itu ialah patung watak dan kelengkapan dari filem Superman, Hellboy, Spawn, Six Million Dollar Man, Iron Man, Transformers, Avatar dan Freddy Krueger.

Dengan slogan Sayangkan Mainan Kita Untuk Dinikmati Semua, muzium itu mampu membuka minda kanak-kanak untuk menjaga barang mainan mereka dengan baik.

Muzium Setem Melaka merupakan aset sangat berharga dari segi kesenian, kewangan dan sejarah kepada mereka yang menghargainya. Pengumpul setem akan membelanjakan sejumlah wang, tenaga dan masa bagi memastikan setem-setem yang jarang ditemui, berada dalam koleksi mereka. Berdasarkan hakikat tersebut, Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad telah menubuhkan Muzium Setem Melaka pada tahun 2007 di bangunan lama Muzium Melaka bagi mempamerkan setem-setem terawal di Malaysia dan luar negara sehingga yang terkini.

Perigi Hang Tuah terletak di Kampung Duyong, Melaka ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Hang Tuah seorang pahlawan yang terkemuka di Nusantara ini di Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1398 - 1511). Hang Tuah Yang dilahirkan di Kampung Duyung ini dipercayai menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya.

Pada asalnya perigi ini adalah kecil tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering, walaupun di musim kemarau panjang. Airnya sentiasa jernih dan dikatakan boleh menyembuhkan penyakit.

Bangunan tiga tingkat yang pernah menjadi pejabat pentadbiran Majlis Perbandaran Melaka Tengah (MPMT) ini telah dijadikan Muzium Rakyat, Kecantikan, Layang-layang dan Galeri 3D. Muzium Rakyat yang ditempatkan di tingkat bawah mempamerkan aspek pembangunan serta kejayaan yang dicapai oleh negeri Melaka meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosio budaya dan infrastruktur. Di Galeri Gasing pada aras yang sama, pengunjung turut berpeluang untuk mengenali pelbagai jenis gasing yang dipamerkan termasuk dari jenis jantung, berembang, talar dan uri.

Masjid Selat Melaka ini antara destinasi menarik yang patut dikunjungi jika anda bertandang ke negeri Melaka. Juga dikenali sebagai Masjid Terapung kerana Masjid ini seolah-olah terapung apabila air pasang. Menjadi salah satu tempat kegemaran para jurugambar tidak kira tempatan atau negara luar.

Melaka Wild Life Theatre Orang ramai berpeluang menyaksikan pertunjukkan mencuit hati daripada tiga ekor singa laut buat pertama kali di Wild Life Theatre di Pulau Melaka.Pengunjung juga boleh bermain dengan lebih kurang 15 jenis reptalia jinak..

Aksi singa laut terlatih berusia lapan bulan itu didatangkan khas dari Chile dan merupakan satu lagi produk pelancongan terbaru di melaka

Kapal Selam FS Ouessant Agosta 70 merupakan kapal selam latihan krew-krew Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Perolehan kapal selam FS Ouessant Agosta 70 milik bekas Tentera Laut Perancis. Kapal selam ini telah dibawa pulang ke tanahair oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk diabadikan sebagai muzium di Kompleks Muzium Maritim, Pantai Berlian, Klebang, Melaka. Kerja-kerja untuk membawa pulang kapal selam FS Ouessant Agosta 70 ini dari pengkalannya di Brest, Perancis telah dimulakan pada 9 Oktober 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 November 2011. Fokus utama pameran Muzium Kapal Selam FD Ouessant Agosta 70 ini ialah sejarah kapal selam dan perkembangan terutamanya di negara kita.

Menara Taming Sari Melaka adalah salah satu daripada tempat menarik di Melaka Bandaraya Bersejarah. Menara Taming Sari yang dibina dengan jumlah RM24 juta terletak di tengah-tengah bandaraya Melaka Warisan Dunia UNESCO ( Melaka UNESCO World Heritage City). Menara ini adalah menara Gyro (berputar) pertama di Malaysia. Menara ini diinspirasi oleh keris Taming Sari iaitu keris pusaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka.
Menara Taming Sari beroperasi setiap hari dari pukul 10am hingga 10pm mulai 18 April 2008. Taming Sari Tower ini mempunyai ketinggian yang membolehkan pengunjung melihat view dari lebih kurang 80 meter tinggi. Para pengunjung akan mempunyai peluang untuk melihat jelas keindahan pemandangan Melaka Bandar Bersejarah. Antara tempat menarik di Melaka yang boleh dilihat dari menara adalah seperti di bawah:

>Dataran Pahlawan
>Hatten Square
>Pahlawan Walk
>Kota A Famosa (Santiago Gate)
>Bukit St Paul
>Mahkota Parade
>Muzium Samudera
>Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
>Replika Istana Kesultanan
>Sungai/Selat Melaka

"Malacca Duck Tours", bot amfibia yang membawa pengunjung merentasi laluan di sekitar Jalan Taman Melaka Raya dan terus ke Pulau Melaka sebelum turun ke laut. Ia kemudian melalui sepanjang pesisiran Selat Melaka sehingga naik semula ke darat berhampiran muara Sungai Melaka..

Muzium Kapal Samudera, Dibina mengikut bentuk kapal Portugis yang karam di Selat Melaka sewaktu pelayaran balik ke Portugal, 'Flora De La Mar'. Dengan muatan yang penuh dengan barang-barang berharga diambil dari Melaka, kapal itu tenggelam dan kekal di situ sehinggalah usaha mencari harta warisan Melaka dilaksanakan. Di muzium ini pelawat boleh melihat dengan lebih dekat lagi kemasyhuran kesultanan Melaka pada kurun ke-14 hingga ke era Portugis, Belanda dan Inggeris. Terdapat juga pameran kapal-kapal asing yang pernah berlabuh di Melaka sewaktu zaman kemakmurannya.

Muzium Istana Kesultanan Melaka dibina berdasarkan catatan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan Mansur Shah. Selain daripada reka bentuk bangunan, pelbagai ukiran dan susun aturnya, pelawat berpeluang menambah pengetahuan berhubung institusi Kesultanan Melayu Melaka dan menerokai suasana dalaman sebuah istana melalui diorama Balairong Seri, delegasi pedagang-pedagang, diorama pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat serta bilik beradu Sultan. Pelbagai model istana Melayu turut dipamerkan di samping peragaan koleksi pakaian tradisional, aksesori perhiasan, senjata dan peralatan tembikar.

Pancuran Air Ratu Victoria..Pancuran air ini dibina pada tahun 1904 sempena memperingati pemerintahan jubli Ratu Victoria. Terletak di tengah-tengah Dataran Belanda, Pancutan Air Ratu Victoria ini masih lagi berfungsi dan telah menjadi tumpuan utama para pengunjung yang datang melawat bandaraya bersejarah ini.

Muzium Islam Melaka ditempatkan di bangunan lama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Bangunan ini adalah tinggalan warisan Belanda yang kini rekabentuk dalamannya disesuaikan dengan konsep imbasan era kegemilangan Islam di Melaka dan Nusantara. Antara koleksi yang dipamerkan adalah replika Al-Quran terawal, sejarah masjid-masjid di Melaka, replika Pedang Rasulullah SAW, kitab-kitab agama dan tokoh-tokoh agama serta ulama dari Melaka dan Malaysia.


Muzium Sejarah dan Etnografi ditempatkan di Bangunan Stadthuys yang dibina pada zaman pemerintahan Belanda pada tahun 1650an. Muzium Sejarah mempamerkan tentang sejarah awal penubuhan Melaka, zaman penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Muzium Etnografi di aras bawah memberi penekanan khusus kepada corak kehidupan masyarakat tempatan yang berbilang bangsa. Antara yang dipamerkan adalah adat istiadat perkahwinan, cara kehidupan seharian, diorama pertanian serta pelbagai peralatan yang digunakan oleh masyarakat Melaka termasuk artifak-artifak bersejarah seperti koleksi porselin, senjata dan pelbagai jenis mata wang.

Bukit St. Paul ni juga dikenali sebagai Bukit Melaka ketika di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Nama Bukit St. Paul diambil sempena nama Gereja St. Paul yang sehingga kini masih kukuh berdiri dikemuncak bukit ini.

Kunjungilah Bukit St. Paul pada lewat petang yang dingin dan bersiar-siar di sekitar kawasan tinggalan sejarah ini..

Bangunan Stadhuys serba merah dan dilengkapi sebuah menara jam.'Bangunan Stadthuys' ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

Kincir Air Kesultanan Melaka dibina pada akhir 2007 dan siap pada Mac 2008. Ia telah mencipta rekod sebagai kincir air yang pertama dan terbesar di Malaysia. Strukturnya adalah berasaskan teknologi Islam yang boleh didapati di Syria dan juga Lijiang, China.

Terletak berhampiran dengan tebing Sungai Melaka, anda boleh mengalami pemandangan mercu tanda Melaka yang baru ini..

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka.

Bangunan memorial ini menempatkan bahan pameran meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifek yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Muzium Sastera Melaka.Bangunan bercirikan seni bina Inggeris ini telah dijadikan sebagai Muzium Sastera Melaka dan dirasmikan pembukaannya pada tahun 1984 oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Mohd Zin bin Ab. Ghani. Sejarah kesusasteraan dan pengkaryaan bermula dari era awal penulisan, cerita-cerita rakyat, tokoh-tokoh penulis Melaka, perkembangan kesusasteraan Melayu moden, menjadi fokus utama muzium ditambah lagi dengan pameran pelbagai koleksi asal manuskrip tulisan tangan dan juga koleksi karya penulis-penulis tempatan.

Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Bangunan Bastion House, Jalan Kota, Melaka. Bangunan ini dibina pada zaman pemerintahan Inggeris bagi menempatkan pegawai dan pentadbirannya di Melaka. Muzium ini menjadi rujukan berkaitan masyarakat Melayu dari segi sosio budaya dan ekonomi seluruh Nusantara. Koleksi yang dipamerkan merangkumi bahan sastera, manuskrip, cap mohor, senjata, alat muzik dan sebagainya.

Menaiki Beca Cara terbaik untuk menyaksikan Melaka secara santai ialah dengan berjalan kaki sepanjang jalan-jalan di Melaka. Tetapi, jika anda mahukan pengalaman yang berbeza, beca adalah satu pilihan. Beca boleh membawa anda melalui jalan-jalan dan pelusuk bandaraya Melaka yang bersejarah yang mungkin anda akan terlepas sekiranya anda memutuskan untuk meneroka sendiri. Beca boleh disewa mengikut jam atau jarak perjalanan di bangunan Stadthuys.

Melaka River Pirate Park Salah satu tarikan terbaru yang boleh dilihat sepanjang Sungai Melaka ialah sebuah taman tema air bernama Melaka River Pirate Park. Tiga tarikan di sini ialah Ferris Wheel yang sekarang terkenal dengan nama Eye On Melaka, Pirate Ship dan Tramboline Bungee. Tarikan terbaru Melaka kini lebih terkenal di kalangan pelancong dan keluarga.

Taman Tema Air Melaka Wonderland yang terletak di Ayer Keroh dengan keluasan tapak 12.9 hektar.Melaka Wonderland Theme Park mempunyai 28 jenis permainan dan rekreasi air dan ia mampu menampung sehingga 4,000 pengunjung pada satu-satu masa..

Jom bermain air di Taman Tema Air Melaka Wonderland...Rasakan keseronokan yang tidak terhingga di Taman Tema ini..

Taman Burung Melaka yang terbesar di Asia menjadi salah satu tarikan di negeri melaka.taman yang dibina di atas tanah seluas 1.8 hektar di Taman Botanikal Ayer Keroh itu menempatkan 400 ekor burung pelbagai spesies dan dijangka akan terus ditambah 400 ekor dari semasa ke semasa.

Antara yang ditempatkan termasuk burung kakak tua selain menempatkan ayam serama dan 300 ikan tilapia juga 12,000 pokok pelbagai spesies yang ditanam sekitar taman berkenaan.

Taman Botanikal Melaka dibangunkan pada 1hb Jun 2006 dan dahulunya dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh. Ia adalah cetusan idea YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka. Keluasan Taman Botanikal Melaka adalah 92.5 hektar dan terdiri daripada hutan hujan khatulistiwa semulajadi yang dikelilingi lanskap yang indah. Terdapat lebih daripada 300 spesis flora dan fauna dalam taman ini.

Taman Mini Malaysia ini merupakan sebuah kompleks tema yang mengagumkan bagi membolehkan pengunjung melihat rumah-rumah tradisional dari kesemua 13 negeri di Malaysia dari Sabah hingga ke Perlis dengan hanya satu lawatan.

Kompleks ini memaparkan rumah-rumah bersaiz sebenar yang asli. Rumah-rumah ini dibina oleh pembina yang pakar. Setiap rumah telah dilengkapi dengan elemen yang berkaitan, ditambah dengan keaslian yang menjadikan rumah tersebut mempunyai nilai tradisi yang tersendiri.

Taman Rama - Rama dan Reptilia yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk ke Melaka melalui Plaza Tol Ayer Keroh telah dibuka kepada orang ramai sejak 1 Februari 1991 Taman Rama - Rama dan Reptilia ini adalah yang paling komprehensif didunia, menempatkan lebih daripada 200 spesis serangga tempatan termasuk yang sukat didapati seperti 'Raja Brooke' dan 'Birdwing'. Terdapat juga lebih daripada 400 spesimen serangga.

Zoo Melaka telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Melaka pada 1963 adalah merupakan zoo kedua terbesar di negara ini. Pada tahun 1979, pengurusan Zoo Melaka telah diambil oleh PERHILITAN dan kini menjadi tarikan utama pelancong Negeri Melaka. Dengan keluasan 54 ekar, Zoo Melaka kini mempunyai hampir 1,500 hidupan liar yang hampir pupus dan terancam. Zoo Melaka ini memainkan peranan penting sebagai pusat Konservasi Hidupan Liar disamping menjadi pusat rekreasi yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Taman Buaya Mempunyai keluasan 3.2 hektar, taman ini menjadi destinasi tarikan pelancong yang terkenal dan mempunyai lebih 200 ekor buaya dari pelbagai spesis antaranya ialah Buaya Siam, Buaya Kerdi Afrika, Indian Marsh/Mugger, Cayman dan American Alligator, Buaya Jejulung dan Buaya Tembaga.

Taman Seribu Bunga dibangunkan dikawasan seluas 5.3 Hektar bersebelahan Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Julai 2007.Taman ini sesuai untuk membawa keluarga bersiar-siar di waktu cuti atau pada waktu petang hari. Pelajar-pelajar Landskap dan Nurseri patut melawat ke taman ini kerana mereka boleh belajar mengenai pelan rekabentuk landskap, prinsip merekabentuk landskap, elemen-elemen dalam landskap dan mengenal jenis-jenis tumbuhan hiasan. Dalam taman ini terdapat banyak jenis tumbuhan hiasan. Tanda nama tumbuhan dan nama saintifiknya juga ditulis dan dilekatkan pada setiap tumbuhan yang ditanam.Taman ini cantik, tersusun, rekabentuknya amat menarik, kreatif dan ada seni tersendiri.

Muzium Pengangkutan Melaka terletak di Autocity-MITC Ayer Keroh Melaka.Muzium ini mempamerkan 50 buah kenderaan antik pengangkutan darat iaitu kereta (14 buah), motosikal (13), basikal (17), beca (3), kereta lembu (2) dan kereta kuda (1).

Planetarium Melaka Terletak berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Planetarium Melaka adalah planetarium kedua yang dibina di Melaka. Jauh dari bandar, dan dikelilingi beberapa kawasan tarikan pelancong yang terkenal seperti Perkampungan Asia, Zoo Melaka, Taman Mini Malaysia & ASEAN, Taman Botani Melaka dan Pusat Perlindungan Rama-Rama & Reptilia. Planetarium ini dilengkapi dengan planetarium bertaraf dunia, dewan pameran di dalamnya dilengkapi dengan peralatan animasi yang membolehkan 200 penonton menikmati tayangan video mengenai astronomi (ilmu falak).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan